Wednesday, December 31, 2008

KHUTBAH JUMAAT @ 2 JAN 2009: GAZA MENANGIS


KHUTBAH JUMAAT @ 2 JAN 2009: GAZA MENANGIS


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.


Awal tahun baru hijrah 1430H menyaksikan satu lagi tindakan biadap rejim zionis Israel. Rakyat Gaza yang menderita sejak 18 bulan yang lalu akibat penutupan sempadan oleh Israel sehingga terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan kini menghadapi seranga bertubi-tubi Israel dengan menggunakan jet-jet pejuang F-16 dan helikopter penggempur Apachee ke atas sasaran awam.


Bilangan orang awam di Gaza yang terbunuh kini telah mencecah lebih dari 300 orang dan lebih 1,500 orang mengalami kecederaan. Bilangan kematian di kalangan rakyat Palestin akan terus meningkat kerana masih ramai mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan.


Serangan juga akan diteruskan oleh Israel tanpa ada tanda-tanda ia akan dihentikan. Bahkan pasukan darat tentera Israel juga sedang bersedia di perbatasan Gaza dan akan melancarkan serangan besar-besaran pada bila-bila masa. Sudah tentu ini akan meningkatkan lagi kemusnahan, dan kematian di kalangan penduduk Gaza.



Allah Ta’ala berfirman

وَمَا لَكُمْ لاَ تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاء وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَـذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا (4:

"Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa:

""Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!""."

(Surah AnNisa 4:75)


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Kita diperingatkan oleh Allah SWT di dalam al Quran

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (9:71)

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

(Surah At Taubah 9:71)


Isu Palestin bukan isu Arab atau isu rakyat Palestin, tetapi ia adalah isu umat Islam. Malangnya umat Islam yang sudah dihinggapi oleh sejenis virus yang disebarkan oleh penjajah iaitu ideology kebangsaan sempit atau assobiyah, kita tidak lagi melihat umat Islam diluar dari sempadan politik negara kita sebagai saudara seislam yang wajib di bela dan dipertahankan.


Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya”


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Sesungguhnya membantu saudara seislam yang diserang, dizalimi dan ditindas oleh musuh-musuhnya adalah merupakan satu tuntutan ukhuwah.

Tuntutan ukhuwah di Dalam Islam tidak mengenal batas-batas Negara, bangsa dan keturunan. Selama mana seseorng itu mengucap kalimah syahadah maka dia ada saudara dalam Islam yang wajib dibela dan dipertahankan.

Jika dia disakiti dan dianiaya menjadi tanggungjawab umat Islam untuk merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas dirinya.

Ini adalah kerana Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud:

“Umat Islam adalah ibarat satu tubuh. Jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur malam.”


Saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Saudara-saudara kita di Gaza dan di Palestin sudah dizalimi dan dianiaya sejak lebih 60 tahun lalu. Bahkan sejak tahun 1948, 5 juta rakyat Palestin terpaksa meneruskan kehidupan di khemah-khemah pelarian baik di luar mahupun di dalam Negara Palestin yang terjajah. Mereka langsung tidak mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan dari Negara-negara Islam baik yang berjiran mahupun dari seluruh dunia Islam. Bahkan penderitaan mereka semakin getir sejak 18 bulan yang lalu apabila Israel dengan penuh biadap menutup sempadan Gaza dan menyekat bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan bekalan air bersih.


Tindakan tidak berperikemanusiaan ini disokong oleh kuasa-kuasa besar Amerika, Kesatuan Eropah dan Rusia.

Bahkan Bangsa-bangsa bersatu turut bersekongkol dengan kuasa-kuasa besar merestui tindakan penuh kezaliman yang tidak pernah disaksikan di dalam sejarah tamaddun kemanusiaan iaitu 1.5 juta rakyat Palestin dikepung di dalam penjara terbesar di dunia dan kemudian dibiarkan menderita kebuluran. Keadaan begitu genting sehingga ada di kalangan penduduk Gaza yang terpaksa memakan rumput di tepi jalan untuk meneruskan kehidupan.

Dan yang paling malang lagi saudara-saudara seagama yang jumlahnya mencecah 1.6 billion orang mengambil sikap acuh tak acuh atau tidak mengambil peduli tentang nasib saudaranya yang berada di ambang kematian. Negara-negara Islam yang merupakan negara-negara pengeluar minyak yang kaya sanggup membiarkan umat Islam diperlakukan dengan biadap tanpa peri kemanusiaan oleh musuh-musuhnya.

Bahkan lebih hina lagi apabila Mesir yang berjiran dengan Gaza tunduk kepada kehendak Isreal dan Amerika dan menutup sempadannya dengan Gaza.

Bahkan sehingga saat ini pintu sempadan masih ditutup sehingga rakyat Gaza yang tercedera dalam serangan biadap Israel tidak dapat menyeberang untuk mendapatkan rawatan.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Di manakah kita hendak letak ayat-ayat al Quran dan hadis Nabi SAW yang menekankan tentang tanggungjawab ukhuwah Islam.

Bagaimanakah umat Islam hendak berdiri di hadapan Rabbul Jalil dan memberi alasan di atas kealpaan mereka membantu saudara-saudara mereka di Gaza dan dipuluhan malah ratusan tempat yang lain di mana umat Islam dizalimi, ditindas dan disakiti.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Lebih malang lagi apabila ada Negara-negara Islam bahkan pemimpin-pemimpin Islam yang turut meletakkan kesalahan ke atas rakyat Palestin.

Ini adalah perkara yang sangat pelik. Israel yang melakukan serangan besar-besaran sehingga membunuh ratusan rakyat Palestin, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak, tiba-tiba kesalahan itu dilonggokkan ke atas bahu rakyat Palestin?


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jangan terpengaruh dan terpedaya dengan propaganda pihak musuh.

Mereka mengulang-ulang gesaan supaya pejuang palestin menghentikan serangan roket ke atas sasaran Israel.

Mereka mendakwa serangan roket inilah yang telah mengundang amarah Israel sehingga mereka melancarkan serangan udara sejak seminggu yang lalu.

Hakikatnya rakyat Palestin hanya mempertahankan diri dari pencerobohan tentera Israel yang berlaku acap kali ke atas wilayah Gaza. Pencerobohan ini pula berlaku pada saat gencatan senjata berlangsung di antara kedua belah pihak.

Apakah pilihan yang ada pada rakyat Palestin ketika mereka dikepung dan dinafikan hak untuk hidup, kemudian dinafikan pula hak untuk mempertahankan diri dari serangan musuh. Undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva memperakui tindakan mana-mana Negara atau bangsa yang dijajah untuk mempertahankan hak, diri dan tanah air mereka dari segala bentuk penjajahan asing.


Dunia tidak boleh diperdaya oleh regim zionis dengan siri-siri penipuan mereka. Kemampuan pejuang Palestin dan Hamas untuk bertindak balas ke atas kebiadapan Israel sangat terbatas.

Bagaimana mungkin Palestin yang hanya memiliki roket buatan sendiri yang tidak pernah tepat mengenai sasaran boleh menjadi ancaman kepada Israel yang merupakan kuasa tentera yang terbesar di dunia.

Dengan sokongan Amerika, Israel memiliki semua peralatan dan senjata tercanggih termasuklah kereta kebal Merkeva, helicopter Apachee dan Jet pejuang F16, F17 dan F18 yang dibekalkan oleh Amerika Syarkiat.

Hakikatnya tindakan serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang Palestin sejak sepuluh tahun yang lalu hanya membunuh sekitar 20 orang rakyat Israel, dan itupun dalam rangka untuk mempertahankan diri setiap kali tentera Israel menggempur rakyat Palestin.

Bilangan rakyat Palestin yang terbunuh akibat serangan Isreal sudah mencecah ribuan jiwa.

Ini tidak termasuk puluhan ribu yang tercedera dan 10,000 termasuk 300 orang wanita yang diseksa dalam penjara Israel.

Dan hari ini dalam satu serangan sahaja Israel membunuh 300 orang sekelip mata.

Di manakah ‘sense of proportion’ atau kemampuan menimbang masyarakat antarabangsa di antara kejahatan Israel dengan kemampuan rakyat Palestin untuk mempertahankan diri mereka.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Atas rasa tanggungjawab dan prihatin yang amat mendalam terhadap kezaliman yang sedang berlaku ke atas umat Islam, khatib mengsyorkan beberapa tindakan praktikal yang boleh dilakukan oleh umat Islam.

Pertama, khatib menyeru umat Islam supaya bermunajat kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh agar Allah mengeluarkan kita dari keadaan yang lemah ini dan mengampuni kealpaan selama ini.

Seterusnya kita memohon kepada Allah agar memberi kekuatan kepada seluruh umat Islam supaya bangkit dari kelemahan ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Seterusnya secara khusus kita memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan ke atas umat Islam di Palestin ke atas musuh-musuh zionis yahudi.


Kedua, khatib mengesyorkan agar setiap kariah dan kawasan mengadakan solat hajat perdana memohon kepada Allah agar saudara-saudara kita di Palestin diselamatkan dari kejahatan musuh-musuh zionis dan memenangkan mereka dengan ‘karamah’ dari Allah SWT. Kita yakin golongan yang dizalimi dan teraniaya pasti didengari doa mereka dan akan mendapat pertolongan Allah SWT.


Ketiga khatib mengsyorkan agar umat Islam tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada suadara-saudaranya di Palestin. Ini bersesuaian dengan anjuran Allah SWT agar umat Islam berjihad dengan harta dan jiwa raga mereka.


Firman Allah SWT dari Surah as Saff ayat 10-11 :-

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)

Wahai orang yang beriman. Sukakah kamu diberitahu satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari seksa api neraka iaitu kamu beriman dengan Allah dan Rasulnya, dan berjihad pada jalannya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu. Itulah yang baik bagi kamu jika kamu mengetahui."


Akhirnya khatib ingin mengingatkan umat Islam bahawa kezaliman dan penganiayaan itu menimpa bumi yang diberkati, bumi para Nabi, bumi Isra’ dan mikraj dan bumi di mana terletak masjid al Aqsa yang dimuliakan Allah SWT di samping masjid al Haram dan masjid a-Nabawi.


Khatib juga ingin merakamkan rasa sedih seluruh umat Islam yang amat mendalam ke atas penderitaan yang menimpa rakyat Palestin d Gaza dalam suasana ketika seluruh dunia Islam menyambut Ma'al Hijrah (tahun baru Hijrah 1430H dan ketika tahun 2008 akan melabuhkan tabirnya menjelang ketibaan tahun baru 2009.

Apakah ia menandakan tahun baru ini menjanjikan penderitaan berpanjangan kepada rakyat Palestin?

Oleh kerana itu khatib menggesa seluruh lapisan masyarakat bangkit untuk menggesa supaya kebiadaban dan keangkuhan rejim zionis yang disokong oleh USA dihentikan dengan segera.


Disediakan oleh :

Dr Hafidzi Mohd Noor (HP 013-3685367)

Pengarah

Palestine Centre of Excellence(PACE)



LATAR BELAKANG KEPADA PERISTIWA TRAGEDI GAZA YANG BERLAKU


REJIM ZIONIS MENYALAHKAN HAMAS BILA “TRUCE” BERAKHIR.

Kekalahan Fatah pimpinan Mahmood Abbas dalam pilihanraya pertama di Palestin pada Januari 2006 sebenarnya memberi tamparan hebat kepada rejim Zionis dan AS.


Dengan segala bantuan yang diberi termasuklah sumber kewangan, ketenteraan dan kebendaan, mereka mengharapkan Mahmud Abbas dan Fatah boleh menang dalam pilihanraya ini.


Seterusnya mereka juga mengharapkan Mahmud Abbas dapat mendirikan sebuah negara secular Palestin, bukan sekadar berjiran dengan Israel malah sanggup menurut segala kemahuan rejim Zionis dan AS.

Kemenangan Hamas pula merupakan kemenangan perjuangan Islam di bumi Palestin.


Walaupun Hamas telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan pakatan dengan Fatah, rejim Zionis dan AS masih tidak berpuashati. Ini disebabkan mereka masih melihat kerajaan baru ini dikuasai oleh Hamas kerana majoriti kerusi di Parlimen dikuasai oleh Hamas.


Hakikatnya mereka tidak akan menerima sebuah negara yang diperintah oleh Hamas yang ingin menegakkan syariat Islam.


Oleh itu apa yang berlaku sepanjang tiga tahun ini (2006 hingga 2008) dibumi Palestin khususnya di jalur Gaza sehinggalah tamatnya tempoh “truce” pada 19 Disember baru-baru ini ialah rejim Zionis dan AS telah merancang dan melakukan berbagai usaha untuk melumpuhkan kerajaan pimpinan Hamas (yang dianggap pengganas oleh rejim Zionis dan AS) dan seterusnya cuba memadamkan api perjuangan umat Islam dibumi Palestin.


Walaupun sepanjang tempoh ini terdapat berbagai perjanjian damai yang diusahakan terutama sekali oleh AS, tetapi bertujuan lebih untuk mengembalikan pimpinan Mahmud Abbas dan ingin mendapatkan sokongan antarabangsa terutama sekali negara Arab dan Islam dengan memberi harapan palsu tentang kedamaian. Tentu sekali semua perjanjian damai ini bukan bertujuan untuk mencari kedamaian dalam ertikata yang sebenarnya.


Bermula seawal bulan Januari 2006 (selepas piliharaya di Palestin), segala usaha untuk memberi tekanan kepada Hamas dan pengikutnya telah bermula. Dengan adanya tembok batu pemisah-yang pembinaannya di haramkan oleh PBB- yang dibina oleh Ariel Sharon ( yang kini dalam keadaan azab nazak yang panjang) memudahkan segala usaha jahat ini. Segala pergerakan keluar-masuk penduduk dan kegiatan ekonomi rakyat Palestin melalui tembok batu pemisah ini menjadi semakin sukar. Ini secara langsung langsung memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat Palestin yang sebelum ini memang telah lama menderita. Keadaan ini sepertimana yang di sebut oleh Jimmy Carter (bekas President AS) bahwa rakyat Palestin telah menjadi pelarian dan banduan di negara mereka sendiri akibat tembok batu pemisah ini dan dasar apartheid rejim Zionis.


Bila Gilad Shalit, seorang tentera IDF ( Israeli Defend Force), di tawan – tetapi rejim Zionis mengatakan beliau diculik- oleh pejuang Islam (Popular Resistance Committee) pada bulan Jun 2006, gelombang kezaliman rejim Zionis kembali melanda penduduk Palestin.


Sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan dengan pertukaran tawanan perang sahaja sepertimana yang dituntut oleh pejuang Islam ini, sebaliknya rejim Zionis mengambil peluang ini untuk melakukan kemusnahan yang maksima terhadap penduduk Palestin iaitu satu kaedah yang disebut sebagai “disproportionate force”.


Antara tindakan yang diambil ialah rejim Zionis ialah membunuh beratus-ratus orang awam Palestin dan memusnahkan rumah, bangunan dan hartabenda penduduk Palestin demi membebas hanya seorang rakyat Israel .


Bukan setakat itu saja rejim Zionis juga telah menahan hampir seribu penduduk Palestin termasuklah berpuluh-puluh orang ahli Parliamen Hamas. Tindakan ini sekali lagi dillihat sebagai usaha untuk melemahkan lagi kerjaan pimpinan Hamas ini.


Kerajaan pakatan Hamas/Fatah tidak mampu bertahan lama apabila Mahmud Abbas keluar dari kerajaan pakatan ini pada bulan Jun 2007.


Hamas pula dituduh “merampas kuasa” tetapi sebenarnya tiada rampasan kuasa kerana Hamas memang pemerintah yang sah dan berkuasa. Akibatnya, pemerintahan kerajaan baru Palestin berpecah dua. Mahmud Abbas, yang masih mengaku President PA berkuasa di Tebing Batar dan tentu saja mendapat sokongan dari rejim Zionis dan AS.


Manakala Hamas terus berkuasa di jalur Gaza dengan mandat diberi oleh penduduk Palestin.


Kini kezaliman rejim Zionis lebih tertumpu di jalur Gaza di mana Hamas berkuasa.


Tindakan ini jelas bertujuan untuk mengulingkan Hamas. Malah melalui kaedah “collective punishment” -yang diharamkan oleh pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa- dimana seluruh penduduk dijalur Gaza juga turut di hukum kerana terus memberi sokongan kepada Hamas.


Antara tindakan-tindakan kejam yang dilakukan oleh rejim Zionis ialah melancarkan pencerobohan di jalur Gaza , membunuh beratus–ratus penduduk awam dan merosak harta-benda penduduk di jalur Gaza . Malah yang lebih kejam lagi ialah Rejim Zionis juga mengenakan sekatan dan kepungan di jalur Gaza yang disebut sebagai “Gaza Siege”.


Melalui tindakan kejam ini semua pintu masuk ke jalur Gaza ditutup, menyekat semua bahan-bahan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain untuk kegiatan ekonomi. Akibatnya, jalur Gaza mengalami krisis kemanusian yang teruk.


Dalam tahun yang sama juga iaitu pada bulan November 2007, Mahmud Abbas telah menandatangi satu perjanjian damai diantara Ehud Olmert dan George W. Bush.


Perjanjian damai ini yang dipanggil sebagai Sidang Damai Annapolis, menjanjikan sebuah Negara Palestin yang berjiran negara Israel (two state solution). Perjanjian ini dibuat semasa penduduk dijalur Gaza sedang menderita akibat sekatan dan kepungan rejim Zionis.


“Gaza Siege” yang zalim ini berlangsung sehingga tahun 2008. Hujung bulan Januari 2008 dunia telah dikejutkan dengan peristiwa Hamas meletupkan tembok batu pemisah berdekatan dengan Rafah. Tindakan ini dilakukan demi untuk menyelamatkan 1.5 juta penduduk di jalur Gaza yang sedang mengalami krisis kemanusian yang meruncing. Hasilnya, Hamas dan krisis kemanusian penduduk di jalur Gaza menjadi perhatian dunia.


Walaupun begitu sikap angkuh rejim Zionis yang tidak kenal erti kemanusian telah mengenakan satu lagi tindakan yang zalim iaitu memberhentikan bekalan bahanapi untuk menjalankan operasi janakuasa elektrik di jalur Gaza . Jalur Gaza bergelap, hospital berhenti beroperasi dan semua kegiatan ekonomi lumpuh sama sekali.


Hasil dari tindakan zalim dan kejam rejim Zionis iaitu melalui sekatan, kepungan dan pencerobohan selama hampir 3 tahun terutama sekali di jalur Gaza hampir 1000 rakyat Palestin yang telah dibunuh termasuk bayi yang baru berumur 4 bulan hinggalah orang tua yang berumur 65 tahun, hampir 5000 rakyat Palestin yang ditahan dan kemusnahan tempat tinggal dan harta-benda rakyat Palestin makin meningkat.


Malah yang menyedihkan lagi lebih dari 261 orang pesakit di jalur Gaza mati akibat kekurangan ubat-ubatan ataupun tidak dapat permit dari rejim Zionis untuk keluar dari jalur Gaza bagi mendapat rawatan lanjut. Antara yang mati termasuklah kanak-kanak yang baru lahir hinggalah kepada orang tua.


Beberapa statistiks telah keluarkan oleh beberapa pertubuhan hak manusia seperti URWA, bagi menggambarkan betapa terusknya krisis kemanusiaan di jalur Gaza seperti berikut : 77 % penduduk sangat memerlukan dengan segara bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan lain-lain lagi; kadar ‘malnutrition’ adalah paling tinggi di dunia; simpanan makanan (food insecurity) berada pada tahap paling bahaya iaitu 56%. Dan 42% dari penduduk disini tidak mempunyai pekerjaan.


Namun dengan segala penderitaan dan kesusahan yang ditanggung Hamas dan penduduk Islam di jalur Gaza , mereka masih mampu bertahan hingga saat ini. Malah sepanjang sekatan dan kepungan ini Hamas dan pejuang Islam masih mampu memberi serangan-balas terhadap rejim Zionis. Perkara ini merupakan mimpi ngeri untuk orang Yahudi.


Tindakan balas ini memberi kesan buruk kepada pemimpin politik rejim Zionis. Mereka di lihat tidak mampu mengalahkan Hamas dan seterusnya memberhentikan serangan roket terutama sekali di selatan Israel . Bukan setakat juga tindakan Hamas ini juga memberi kesan kepada Sidang Damai Annapolis.


Faktor politik dalaman Israel, isu pembebasan Gilad Shalit, tekanan antarabangsa dan pengaruh Hamas dikalangan penduduk Palestin memaksa rejim Zionis menerima Hamas sebagai rakan-runding dalam sebuah perjanjian sementara yang disebut sebagai “truce” (“calm” ataupun “lull”) dengan Mesir menjadi orang tengah (broker).


Dalam “Truce Agreement” ini kedua-dua pihak (rejim Zionis dan Hamas) diminta memberhentikan semua serangan supaya proses perdamaian yang utama dapat diteruskan. Hamas bersetuju dengan “truce’ ini tetapi dengan syarat rejim Zionis menamatkan semua sekatan dan kepungan, membuka semua pintu masuk ke jalur, menghentikan sekatan ekonomi dan semua pencerobohan. Hamas dan beberapa pejuang bersenjata Islam yang lain mula mematuhi ‘truce’ ini pada 19 Jun 2008. Dari tarikh ini Hamas berjanji memerhentikan semua serangan roket ke wilayah Israel kecuali rejim Zionis memulakan serangan ataupun pencerobohan terlebih dahulu.


Hamas memberi tempoh selama 6 bulan kepada rejim Zionis untuk mematuhi segala persetujuan yang terdapat dalam truce ini terutama sekali memerhentikan semua sekatan dan kepongan, membenarkan semua bantuan kemanusiaan masuk ke jalur Gaza dan memerhentikan semua sekatan ekonomi.


Pada 19 Disember yang lalu Hamas mengistiharkan bahwa tempoh 6 bulan telah berakhir dan tidak akan menyambungkan tempoh ini. Rejim Zionis menuduh bahwa Hamas tidak berminat untuk melakukan perdamaian dan memilih peperangan.


Tetapi Hamas pula mengatakan “truce” ini gagal mencapai matlamatnya. Rejim Zionis masih lagi meneruskan sekatan dan kepungan di jalur Gaza .


Tindakan ganas dan pencerobohan oleh masih dilakukan oleh rejim Zionis sepanjang tempoh “truce’.Buktinya apa yang telah dilapurkan oleh Palestinian Information Center pada 19 Disember : Sepanjang tempoh 6 bulan ini seramai 49 rakyat Palestin dibunuh termasuk 7 orang kanak-kanak. Bulan November juga menyaksikan kadar kematian yang tertinggi di jalur Gaza dalam satu bulan iaitu seramai 17 orang.




Menurut Brigade Qassam pula sepanjang tempoh 6 bulan “truce” ini IOF (Israel Occupation Force) telah melakukan serangan sebanyak 185 kali, manakala Qassam Brigades melakukan serangan balas sebanyak 170 kali yang mengakibat 38 rakyat Yahudi tercedara ( tiada kematian dilapurkan).

Oleh itu, siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab menyebabkan “truce” ini berakhir?

MEGAT SHARIFFUDDIN IBRAHIM

PACE.

http://dariipohuntukgaza.blogspot.com


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails